Ahad, 22 November 2009

Katakan tidak kepada Keganasan rumahtangga.

Oleh Sharifah Norhayati Syed Omar

(Ketua Unit PR dan Media WIRDA Selangor)


Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Kebudayaan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil satu usaha murni dalam memperkenalkan One Stop Crisis Centre (OSCC) kepada masyarakat dalam usaha untuk mewujudkan satu masyarakat yang prihatin terhadap wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, seksual, liwat dan dera.


Kewujudan OSCC ini mewujudkan suasana yang selesa dan penghidupan yang lebih baik kepada wanita dan kanak-kanak. Mereka tidak keseorangan sebaliknya OSCC bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik jika mereka di dera oleh si pelaku keganasan yang durjana.


OSCC telah diperkenalkan sejak 1997 tetapi tidak digerakkan secara serius oleh kerajaan negeri yang memerintah sebelum ini. OSCC adalah satu pusat perkhimatan yang lengkap dan menyeluruh bagi membantu mangsa penderaan, perkosaan, liwat dan mangsa keganasan rumah tangga. Pusat ini ditubuhkan khas untuk merawat dan mengasingkan mangsa-mangsa tersebut serta di beri bantuan dari segi sokongan emosi dan kaunseling agar mereka tidak mengalami taruma yang serius.


Exco kerajaan Selangor Rodziah Ismail telah mula mengorak langkah untuk menyedarkan masyarakat bahawa terdapat satu pusat khidmat yang dapat membantu mangsa keganasan rumah tangga dan dera.


Pusat ini dikendalikan secara bersama yang melibatkan beberapa agensi iaitu Hospital, polis, peguam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perlu di tangani oleh setiap ahli dalam komuniti untuk melahirkan masyarakat penyayang yang memberikan saham besar dalam pembangunan negara yang lebih positif.


Ada tiga kaedah yang dikenal pasti untuk menangani keganasan rumah tangga dan gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja.

1) Memberi kefahaman dan kesedaran kepada wanita mengenai konsep keadilan dalam hubungan kekeluargaan.

2) Memberi kefahaman dan kesedaran wanita terhadap hak-hak mereka yang dilindungi oleh undang-undang.

3) Menyediakan tempat yang selamat untuk mendapat rawatan dan tempat yang selamat dimaksudkan ialah di OSCC.


OSCC telah lama ditubuhkan namun masih ramai tidak mengetahui kewujudan pusat ini dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai.


Objektif Kempen kesedaran "Katakan tidak kepada keganasan rumahtangga ialah:

1) Mewujudkan kesedaran dan peranan OSCC kepada masyarakat dalam membantu wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.

2) Memupuk kesedaran wanita untuk memperkasakan minda yang merdeka dan menggilap jatidiri wanita yang bermaruah.

3) Memberi maklumat dan kefahaman yang sahih lagi benar mengenai isu-isu keganasan rumah tangga dan gangguan seksual ditempat kerja.

4) Memberi pendedahan dan kefahaman mengenai undang-undang yang dapat melindungi wanita dan kanak-kanak.


Dalam agenda merakyatkan ekonomi Selangor (MES) fasa 1, antaranya diperkasakan semula program OSCC dimana kempen ini akan dilaksanakan dalam bentuk jaringan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO).


Kempen ini adalah untuk memberi kesedaran tentang keganasan terhadap kaum wanita dan kanak-kanak di samping memberi maklumat berkaitan undang-undang keluarga dan menghebahkan maklumat mengenai OSCC ini kepada orang ramai.


Program ini dijalankan dan dikendalikan oleh beberapa buah badan NGO yang terpilih antaranya WIRDA, dan pelaksanaannya mengikut Dun di seluruh Selangor.


OSCC telah diwujudkan di enam hospital di Selangor iaitu di Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Puan Rahimah Klang dan Hospital Kajang.


Menurut Rodziah, Kerajaan Negeri Selangor akan menambah lagi OSCC di beberapa buah hospital yang telah dikenal pasti. Adalah menjadi harapan kita semua agar OSCC ini akan di manfaatkan sepenuhnya oleh seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.


Mangsa tidak perlu takut untuk ke OSCC untuk mendapatkan rawatan kerana pihak hospital menyediakan bilik khas yang terasing dari orang ramai. Maklumat mangsa juga dirahsiakan. Maruah mereka akan dijaga dan dipelihara. Mangsa juga tidak perlu untuk mengambil nombor sebaliknya akan terus dibawa ke bilik OSCC. Jururawat terlatih dan doktor akan memberikan bantuan yang segera kepada mangsa. Mangsa akan dilindung dari sebarang ancaman dari si pelaku dera.

Penerangan OSCC beri pengetahuan kepada masyarakat


















Oleh Sharifah Norhayati Syed Omar


Kempen kesedaran One Stop Crisis Centre (OSCC) telah di adakan di Dewan Seri Kundang , Kampung Melayu Seri Kundang di Rawang telah diadakan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat tentang isu keganasan rumahtangga.

Program ini adalah anjuran Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Kebudayaan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor.


Wirda Selayang sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah diamanahkan untuk menjalankan dan mengendalikan kempen tersebut.


Turut hadir dalam majlis itu ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Abdul Rahim Wahab, Pengarah Wirda Selangor, Endok Sempo, dan Pengarah Wirda Selayang, Datin Aminah Md Yasin.


Majlis ini telah dirasmikan oleh Abdul Rahim dan perasmian penutup oleh Rodziah.


Program ini menampilkan penceramah bebas Zawiyah Mohd Amin, empat peserta forum yang mewakili pelbagai agensi iaitu Dr Aina Wahida dari Hospital Selayang, Inspektor Rashidah dari Ibu pejabat Polis Daerah Gombak, Musa Awang seorang peguam cara dan Saiful Nizir dari Jabatan Kebajikan Masyarakat


Persembahan Multimedia OSCC, peraduan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak bawah 12 tahun turut diadakan.


OSCC telah ditubuhkan sejak 1997 namun masih ramai orang awam yang tidak mengetahui kewujudan pusat ini dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai.


Dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) Fasa 1, diperkasakan semula program OSCC dimana kempen kesedaran dilaksanakan

dalam bentuk jaringan dengan NGO


Ia bertujuan memberi kesedaran dan maklumat apakah tindakan yang perlu diambil oleh masyarakat dalam menangani isu keganasan rumahtangga, cabul, liwat dan dera.


Menurut Abdul Rahim, beliau mengucapkan tahniah kepada Kerajaan negeri dan Wirda kerana mengambil tanggungjawab sosial untuk memberi penerangan kepada rakyat.


"Jika kita berkata syurga adalah bawah tapak kaki ibu tetapi sekarang ini, wanitalah yang paling banyak kena tapak kaki lelaki.


"Dengan adanya OSCC diharap wanita

dapat pergi ke tempat yang betul untuk memnta pertolongan jika menghadapi masalah seperti ini," katanya.


Aminah pula berkata Kempen Kesedaran OSCC ini adalah maklumat untuk masyarakat dan pemimpin bagi membendung gejala keganasan rumah tangga, seksual dan dera.


Beliau juga berharap pemimpin masyarakat memainkan peranan mereka dalam mendidik masyarakat terhadap perlunya kempen ini terus dijalankan.


OSCC ini perlu dibicarakan oleh orang-ramai dan pemimpin mesti mensosialisasikan (memasyarakatkan) OSCC supaya wanita mengetahui hak-hak mereka kata Rodziah.


"Kita tegas untuk menangkap pelaku (keganasan, seksual dan dera) yang durjana.


"OSCC akan sentiasa menjaga maruah mangsa dan mangsa tidak perlu takut untuk membuat laporan polis kerana undang-undang dan akta yang ada di negara ini sentiasa melindungi mereka," ujarnya lagi.


Beliau berharap program ini bukan sahaja di laksanakan di peringkat Dun tetapi juga di peringkat taman-taman perumahan dan kampung oleh pemimpin-pemimpin masyarakat.