Ahad, 22 November 2009

Katakan tidak kepada Keganasan rumahtangga.

Oleh Sharifah Norhayati Syed Omar

(Ketua Unit PR dan Media WIRDA Selangor)


Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Kebudayaan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil satu usaha murni dalam memperkenalkan One Stop Crisis Centre (OSCC) kepada masyarakat dalam usaha untuk mewujudkan satu masyarakat yang prihatin terhadap wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, seksual, liwat dan dera.


Kewujudan OSCC ini mewujudkan suasana yang selesa dan penghidupan yang lebih baik kepada wanita dan kanak-kanak. Mereka tidak keseorangan sebaliknya OSCC bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik jika mereka di dera oleh si pelaku keganasan yang durjana.


OSCC telah diperkenalkan sejak 1997 tetapi tidak digerakkan secara serius oleh kerajaan negeri yang memerintah sebelum ini. OSCC adalah satu pusat perkhimatan yang lengkap dan menyeluruh bagi membantu mangsa penderaan, perkosaan, liwat dan mangsa keganasan rumah tangga. Pusat ini ditubuhkan khas untuk merawat dan mengasingkan mangsa-mangsa tersebut serta di beri bantuan dari segi sokongan emosi dan kaunseling agar mereka tidak mengalami taruma yang serius.


Exco kerajaan Selangor Rodziah Ismail telah mula mengorak langkah untuk menyedarkan masyarakat bahawa terdapat satu pusat khidmat yang dapat membantu mangsa keganasan rumah tangga dan dera.


Pusat ini dikendalikan secara bersama yang melibatkan beberapa agensi iaitu Hospital, polis, peguam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perlu di tangani oleh setiap ahli dalam komuniti untuk melahirkan masyarakat penyayang yang memberikan saham besar dalam pembangunan negara yang lebih positif.


Ada tiga kaedah yang dikenal pasti untuk menangani keganasan rumah tangga dan gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja.

1) Memberi kefahaman dan kesedaran kepada wanita mengenai konsep keadilan dalam hubungan kekeluargaan.

2) Memberi kefahaman dan kesedaran wanita terhadap hak-hak mereka yang dilindungi oleh undang-undang.

3) Menyediakan tempat yang selamat untuk mendapat rawatan dan tempat yang selamat dimaksudkan ialah di OSCC.


OSCC telah lama ditubuhkan namun masih ramai tidak mengetahui kewujudan pusat ini dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai.


Objektif Kempen kesedaran "Katakan tidak kepada keganasan rumahtangga ialah:

1) Mewujudkan kesedaran dan peranan OSCC kepada masyarakat dalam membantu wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.

2) Memupuk kesedaran wanita untuk memperkasakan minda yang merdeka dan menggilap jatidiri wanita yang bermaruah.

3) Memberi maklumat dan kefahaman yang sahih lagi benar mengenai isu-isu keganasan rumah tangga dan gangguan seksual ditempat kerja.

4) Memberi pendedahan dan kefahaman mengenai undang-undang yang dapat melindungi wanita dan kanak-kanak.


Dalam agenda merakyatkan ekonomi Selangor (MES) fasa 1, antaranya diperkasakan semula program OSCC dimana kempen ini akan dilaksanakan dalam bentuk jaringan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO).


Kempen ini adalah untuk memberi kesedaran tentang keganasan terhadap kaum wanita dan kanak-kanak di samping memberi maklumat berkaitan undang-undang keluarga dan menghebahkan maklumat mengenai OSCC ini kepada orang ramai.


Program ini dijalankan dan dikendalikan oleh beberapa buah badan NGO yang terpilih antaranya WIRDA, dan pelaksanaannya mengikut Dun di seluruh Selangor.


OSCC telah diwujudkan di enam hospital di Selangor iaitu di Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Puan Rahimah Klang dan Hospital Kajang.


Menurut Rodziah, Kerajaan Negeri Selangor akan menambah lagi OSCC di beberapa buah hospital yang telah dikenal pasti. Adalah menjadi harapan kita semua agar OSCC ini akan di manfaatkan sepenuhnya oleh seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.


Mangsa tidak perlu takut untuk ke OSCC untuk mendapatkan rawatan kerana pihak hospital menyediakan bilik khas yang terasing dari orang ramai. Maklumat mangsa juga dirahsiakan. Maruah mereka akan dijaga dan dipelihara. Mangsa juga tidak perlu untuk mengambil nombor sebaliknya akan terus dibawa ke bilik OSCC. Jururawat terlatih dan doktor akan memberikan bantuan yang segera kepada mangsa. Mangsa akan dilindung dari sebarang ancaman dari si pelaku dera.

Penerangan OSCC beri pengetahuan kepada masyarakat


















Oleh Sharifah Norhayati Syed Omar


Kempen kesedaran One Stop Crisis Centre (OSCC) telah di adakan di Dewan Seri Kundang , Kampung Melayu Seri Kundang di Rawang telah diadakan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat tentang isu keganasan rumahtangga.

Program ini adalah anjuran Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Kebudayaan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor.


Wirda Selayang sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah diamanahkan untuk menjalankan dan mengendalikan kempen tersebut.


Turut hadir dalam majlis itu ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Abdul Rahim Wahab, Pengarah Wirda Selangor, Endok Sempo, dan Pengarah Wirda Selayang, Datin Aminah Md Yasin.


Majlis ini telah dirasmikan oleh Abdul Rahim dan perasmian penutup oleh Rodziah.


Program ini menampilkan penceramah bebas Zawiyah Mohd Amin, empat peserta forum yang mewakili pelbagai agensi iaitu Dr Aina Wahida dari Hospital Selayang, Inspektor Rashidah dari Ibu pejabat Polis Daerah Gombak, Musa Awang seorang peguam cara dan Saiful Nizir dari Jabatan Kebajikan Masyarakat


Persembahan Multimedia OSCC, peraduan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak bawah 12 tahun turut diadakan.


OSCC telah ditubuhkan sejak 1997 namun masih ramai orang awam yang tidak mengetahui kewujudan pusat ini dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai.


Dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) Fasa 1, diperkasakan semula program OSCC dimana kempen kesedaran dilaksanakan

dalam bentuk jaringan dengan NGO


Ia bertujuan memberi kesedaran dan maklumat apakah tindakan yang perlu diambil oleh masyarakat dalam menangani isu keganasan rumahtangga, cabul, liwat dan dera.


Menurut Abdul Rahim, beliau mengucapkan tahniah kepada Kerajaan negeri dan Wirda kerana mengambil tanggungjawab sosial untuk memberi penerangan kepada rakyat.


"Jika kita berkata syurga adalah bawah tapak kaki ibu tetapi sekarang ini, wanitalah yang paling banyak kena tapak kaki lelaki.


"Dengan adanya OSCC diharap wanita

dapat pergi ke tempat yang betul untuk memnta pertolongan jika menghadapi masalah seperti ini," katanya.


Aminah pula berkata Kempen Kesedaran OSCC ini adalah maklumat untuk masyarakat dan pemimpin bagi membendung gejala keganasan rumah tangga, seksual dan dera.


Beliau juga berharap pemimpin masyarakat memainkan peranan mereka dalam mendidik masyarakat terhadap perlunya kempen ini terus dijalankan.


OSCC ini perlu dibicarakan oleh orang-ramai dan pemimpin mesti mensosialisasikan (memasyarakatkan) OSCC supaya wanita mengetahui hak-hak mereka kata Rodziah.


"Kita tegas untuk menangkap pelaku (keganasan, seksual dan dera) yang durjana.


"OSCC akan sentiasa menjaga maruah mangsa dan mangsa tidak perlu takut untuk membuat laporan polis kerana undang-undang dan akta yang ada di negara ini sentiasa melindungi mereka," ujarnya lagi.


Beliau berharap program ini bukan sahaja di laksanakan di peringkat Dun tetapi juga di peringkat taman-taman perumahan dan kampung oleh pemimpin-pemimpin masyarakat.

Ahad, 30 Ogos 2009

Wirda Selangor anjur Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim









Oleh Sharifah Norhayati Syed Omar

SEMPENA  Ramadhan ini sebagai tanda perihatin terhadap anak-anak yang kurang bernasib baik Wirda Selangor telah mengadakan majlis berbuka bersama anak-anak yatim yang diadakan di Pusat Khidmat Parlimen Gombak di Taman Melawati.

Majlis itu turut disertai oleh exco kebajikan hal ehwal wanita negeri Selangor, Rodziah Ismail, Adun Hulu Kelang, Saari Sungib, Pengarah Wirda Selangor, Ir Hajah Endut Sampo, Pengarah Wirda Gombak, Faridah Abdul Karim, Presiden Persatuan Khidmat dan Sosial Rakyat (Perkhisor), Jafrein Mohamad, wakil Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan wakil Amal Nisa'. 

Kira-kira 200 orang telah hadir dalam majlis yang berlangsung dalam suasana meriah dan ceria.

Rodziah dan Saari yang mewakili kerajaan negeri Selangor telah menyampaikan sumbangan wang tunai RM50.oo kepada setiap anak yatim manakala Wirda Selangor memberikan goody bags yang berisi kurma, tuala mandi, sabun, air kotak, coklat, biskut, gula-gula, keropok, sebuah buku "pelajar cemerlang" dan majalah. 

Seramai 87 orang anak-anak yatim dari Rumah Anak-Anak Yatim As-Shakur, Rawang dan anak-anak yatim dari sekitar Parlimen Gombak menerima sumbangan yang telah disampaikan oleh Rodziah Ismail dan Saari Sungib.

Majlis ini juga mengadakan solat fardhu dan solat Tarawikh secara berjemaah.

Rodziah berpesan kepada hadirin supaya  insaf dan menjadi insan yang bertimbang rasa.

Beliau juga menyeru supaya sentiasa mengingati golongan yang kurang bernasib baik dalam menjalani ibadah puasa.

"Kita menahan lapar dan dahaga hanya ketika berpuasa Ramadhan tetapi terdapat umat Islam seluruh dunia seperti di Afghanistan, Palestin dan negara miskin lain yang terpaksa berlapar dan dahaga sepanjang masa akibat perang atau ekonomi yang tidak stabil.
"Berlainan dengan umat Islam di negara ini yang dapat menjalani ibadah puasa dalam keadaan selesa dan dapat menikmati hidangan yang lazat yang boleh didapati di bazar Ramadhan, hotel atau restoran," katanya.

Beliau juga meminta supaya rakyat bersyukur atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka.

"Kita mesti bersyukur atas nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada kita dengan menjadikan Ramadhan sebagai bulan melatih diri menjadi orang yang sentiasa membantu saudara seagama dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab," katanya lagi.

Beliau menambah semua exco kerajaan negeri Selangor sentiasa turun padang berjumpa dengan rakyat untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh rakyat.

"Semua exco akan turun padang untuk berjumpa dengan rakyat bagi mengenalpasti masalah rakyat dan akan berusaha menyelesaikan masalah mereka, " ujarnya lagi..

Beliau juga mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Wirda dan Perkhisor kerana mengambil tanggungjawab mengadakan program keagamaan dan kemasyarakatan seperti ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan terhadap program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh badan-badan bukan kerajaan dan badan kebajikan. 

Menurut Faridah pula  program kemasyarakatan yang diadakan ini bukan berhenti setakat itu sahaja. 
"Beberapa program amal lain telah dirancang untuk membantu orang-orang yang kurang bernasib baik dan kerja amal ini akan berterusan," katanya.

Faridah juga menjemput semua ahli Wirda yang berdaftar untuk hadir dalam semua majlis anjuran Wirda di samping mengalu-alukan golongan hawa yang  berminat untuk menjadi ahli baru Wirda.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perkhisor yang banyak membantu dalam menjayakan program ini

Selasa, 18 Ogos 2009

Wirda Gombak komited perkenal OSCC





Oleh Sharifah Norhayati Syed Omar


Wirda adalah akronim bagi Women’s Institute for Research Development and Advancement atau Institut Penyelilidikan Pembangunan dan Kemajuan Wanita sebuah badan NGO. Organisasi wanita ini berteraskan ilmu, kebajikan, mempromosikan penambahbaikan diri sendiri, keluarga dan komuniti yang juga menekankan semangat persaudaraan dan kasih sayang. Visi Wirda adalah menonjolkan wanita sebagai pemimpin efektif dan berani yang membawa perubahan sesuai dengan dasar wanita negara.

Di samping itu Wirda juga menjalankan kerja-kerja sukarelawan, kebajikan dan penerangan kepada masyarakat. 

Di atas dasar itulah Wirda telah diamanahkan oleh Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita negeri Selangor untuk mempromosikan ‘Kempen Kesedaran Wanita OSCC’ (One Stop Crisis Centre) atau Pusat Krisis Sehenti di beberapa Dun di sekitar Selangor.


Program kempen ini diketuai oleh Pengarah Wirda Selangor, Ir Hajah Endok Sempo Hj Mohd Tahir dan Pengarah Wirda Gombak, Faridah Abd Karim serta petugas Wirda Gombak bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kewujudan OSCC dan fungsinya kepada masyrakat.

OSCC diwujudkan untuk membantu mangsa keganasan rumah tangga, dera, liwat, cabul,  dan rogol.

OSCC ditubuhkan pada 1997. Ia adalah satu pusat khidmat yang lengkap dan menyeluruh kepada mangsa. Pusat ini ditubuhkan khas untuk merawat dan mengasingkan mangsa serta memberi bantuan dari segi sokongan emosi dan kaunseling agar mereka tidak mengalami trauma yang serius.

Jabatan Kecemasan setiap hospital kerajaan juga mempunyai OSCC yang mempunyai kakitangan  yang terlatih yang ditugaskan merawat dan memberi penjagaan yang sewajarnya kepada mangsa yang datang. Mangsa yang datang bukan sahaja di beri rawatan fizikal tetapi akan diberi perlindungan sewajarnya termasuk menyediakan tempat tinggal serta di asingkan daripada pesakit-pesakit biasa supaya mangsa tidak bersa malu dan takut. Pegawai polis juga turut ditugaskan untuk mengambil keterangan daripada mangsa dan dibuat laporan polis pada masa yang sama.

Pelbagai agensi juga akan memberi bantuan kepada mangsa seperti polis, NGO, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Peguam dan Biro Bantuan Guaman.

Mangsa juga boleh mendapatkan bantuan guaman dan nasihat dari Biro Bantuan Guaman.

Kesabaran dan kegigihan Wirda Gombak menjalankan Kempen OSCC ini telah dibuktikan dengan kempen yang telah dijalankan oleh mereka mendapat sambutan yang baik dan reaksi positif dari masyarakat. Program kesedaran wanita OSCC ini telah di adakan di Dun  Lembah Jaya, Templer, Taman Megah, Gombak Setia, Teratai, Cempaka dan Bukit Antarabangsa. Program ini akan terus bergerak kebeberapa Dun yang telah dikenal pasti.

Menurut Pengarah Wirda Selangor, Ir Endok Sempo, program yang dijalankan oleh Wirda bukan hanya setakat memberi penerangan sahaja tetapi juga bertujuan untuk mengubah minda masyarakat supaya lebih prihatan terhadap isu ini. Dengan ini masyarakat akan tahu tanggungjawab mereka dalam menghadapi kes seperti ini.

“Kita akan terus komited dalam menjayakan program kesedaran wanita OSCC bagi membantu mereka yang menghadapi masalah seperti ini. 

“Adalah diharap masyarakat juga sedar akan tanggungjawab mereka sebagai ahli masyarat. 

“Kita juga berharap program yang dijalankan ini bukan hanya disertai oleh golongan wanita tetapi juga oleh golongan lelaki,” katanya ketika di temui di pejabatnya di Hulu Kelang.

Bagi Pengarah Wirda Gombak, Faridah Abd Karim pula berharap agar program kempen kesedaran wanita OSCC ini dapat dijalankan secara berterusan dan secara susulan. Ini adalah supaya setiap program ada keberkesanannya dan dapat mencapai matlamat bagi membela nasib wanita yang didera atau menghadapi masalah. 

 “Apa yang penting dalam menyelesaikan kes-kes penderaan terhadap wanita ini adalah kerjasama daripada setiap anggota masyarakat. Jika mereka dapat memainkan peranan secara bersama insyaAllah gejala seperti dera, rogol, liwat dan keganasan rumahtangga ini dapat dikurangkan,” katanya.




Petugas Wirda juga komited dalam setiap tugas dan arahan yang diberikan. Mereka berasa bangga kerana dapat menyumbangkan tenaga dan idea dalam mempromosikan program kempen kesedaran wanita OSCC ini.

Perkara yang penting kepada mereka ialah setiap  golongan wanita mesti mendapat pembelaan. Ini akan menjadikan wanita dapat menjalani kehidupan dengan selesa dan selamat tanpa rasa takut.

Menjelang Ramadhan tahun ini Wirda Gombak telah merancang beberapa program antaranya berbuka puasa bersama anak-anak yatim

Isnin, 17 Ogos 2009

Kempen OSCC


stop-violence


PENGENALAN ‘ONE STOP CRISIS CENTRE’ (OSCC)

‘One Stop Crisis Centre’ (OSCC) atau lebih dikenali sebagai Pusat Khidmat Krisis Sehenti telah ditubuhkan pada 1997 bertujuan untuk mewujudkan satu pusat perkhidmatan yang lengkap dan menyeluruh kepada mangsa penderaan, perkosaan, dan keganasan rumahtangga. Pusat ini ditubuhkan khas untuk merawat dan mengasingkan mangsa-mangsa tersebut serta diberi bantuan dari segi sokongan emosi dan kauseling agar mereka tidak mengalami trauma yang serius.

Amnya, ‘One Stop Crisis Centre’ terletak di bawah Jabatan Kecemasan setiap hospital kerajaan di mana terdapat kakitangan terlatih yang ditugaskan untuk merawat dan memberi penjagaan yang sewajarnya kepada mangsa yang datang. Mangsa-mangsa yang datang bukan sahaja mendapatkan rawatan fizikal tetapi akan diberi perlindungan sewajarnya termasuk menyediakan tempat tinggal serta diasingkan daripada pesakit-pesakit biasa supaya mangsa-mangsa ini tidak berasa malu atau takut. Di samping itu, pegawai polis juga turut ditugaskan di pusat ini untuk mengambil keterangan daripada mangsa dan dibuat laporan polis dalam masa yang sama.

Kewujudan OSCC ini memang tepat pada masanya memandangkan kes-kes yang melibatkan kaum wanita seperti penderaan dan keganasan rumahtangga semakin meningkat dari semasa-semasa.

Pada masa ini, terdapat enam (6) buah hospital kerajaan di Selangor yang mempunyai kemudahan ‘One Stop Crisis Centre’ antaranya:

  1. Hospital AmpangHospital Serdang
  2. Hospital Selayang
  3. Hospital Sungai Buloh
  4. Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang
  5. Hospital Kajang

Keganasan terhadap wanita dilakukan terhadap wanita samata-mata kerana mangsa adalah seorang wanita. Ia boleh berlaku dalam bentuk perlakuan atau ugutan berunsur keganasan yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada mangsa dari segi fizikal, mental dan seksual.

Jenis-jenis keganasan yang berlaku ke atas kaum wanita

  1. Rogol – merujuk kepada serangan seksual yang mana penyerang memaksa mangsa yang enggan bersetuju untuk melakukan hubungan seksual. Sesetengah perundangan menggunakan istilah seperti “serangan seksual” atau “dipukul untuk seksual”, dan ada juga yang mentakrifkan “rogol” sebagai serangan seksual dengan penembusan. “Rogol” boleh juga merujuk kepada hubungan seksual dengan seorang yang rela tetapi dari segi undang-undang belum cukup umur; ini dikenali sebagai “rogol statutori”. Pada kebiasaannya, kejadian rogol ini dilakukan oleh individu yang menjadi kenalan kepada mangsa seperti ahli keluarga, teman lelaki/tunang, kawan baru dikenali, majikan, guru, rakan-rakan dan sebagainya.
  2. Gangguan seksual – merupakan hakikat yang dihadapi oleh ramai wanita di tempat kerja mahupun di tempat belajar. Ia merupakan sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebaga satu gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, psikologi atau fizikal. Mungkin gangguan secara lisan kelihatan seperti gurauan bagi si pelaku tetapi kepada mangsa ia adalah suatu perkara yang sangat hina dan boleh menyebabkan mangsa terasa diri tidak selama akibat perbuatan tersebut.
  3. Keganasan rumahtangga - keganasan yang berlaku di dalam rumah dan pemangsa merupakan ahli keluarga. Ia berlaku dalam bentuk fizikal, lisan, seksual atau psikologi. Ramai wanita yang berkahwin menderita akibat penderaan yang belaku ke atas mereka dan mengalami trauma yang teruk sehingga tidak mampu melakukan tugas seharian dengan sempurna. Kebiasaannya, mangsa mengalami tahap kemurungan yang serius dan menyebabkan mereka mengabaikan kesihatan dan mudah jatuh sakit.

Apakah peruntukan perundangan yang memberi perlindungan kepada kaum wanita?

  1. Akta Keganasan Rumahtanga 1994
  2. Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1951
  3. Akta Kanak-Kanak 2001
  4. Kanun Keseksaan
  5. Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian ) 1976

Biro Bantuan Guaman

Biro Bantuan Guaman telah ditubuhkan pada 15 September 1970 dan berfungsi untuk memberi nasihat dan bantuan guaman serta khidmat pengantaraan kepada golongan yang kurang berkemampuan. Sebarang pertanyaan, sila hubungi alamat berikut :

Aras 1, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Precint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62692 Putrajaya.

Tel : 03-88851000

Faks : 03 – 88883791

Alamat-alamat Hospital yang mempunyai kemudahan OSCC :

Hospital Ampang
Jalan Mewah Utara
Pandan Mewah,
68000 Ampang
No. Telefon : 03-42896000
No. Fax : 03-42954666

Hospital Serdang
Jalan Puchong
43000 Kajang
No. Telefon : 03-89475555
No. Fax : 03-89475210

Hospital Selayang
Lebuhraya Selayang-Kepong
68100 Batu Caves
No. Telefon : 03-61367788/61203233
No. Fax : 03-61377097

Hospital Sungai Buloh
47000 Sungai Buloh
No. Telefon : 03-61454333
No. Fax : 03-61454222

Hospital Tengku Ampuan Rahimah
41200 Klang
No. Telefon : 03-3375 7000
No. Fax : 03-3374 9557

Hospital Kajang
Jalan Semenyih
43000 Kajang
No. Telefon : 03-8736 3333
No. Fax : 03-8736 7527

stop-vawvaw4